21/04/2022 | Rabu Semalam, zink rumah tercabut dua keping. Angin yang lalu tu tiba-tiba kuat dalam beberapa saat. Masa tu aku dan suami baru...

020 : Kisah 3 Hari Di Bulan Ramadhan


21/04/2022 | Rabu

Semalam, zink rumah tercabut dua keping. Angin yang lalu tu tiba-tiba kuat dalam beberapa saat. Masa tu aku dan suami baru siap berbuka puasa. Tiba-tiba hujan turun dengan lebat dan ribut sekelip mata. Bunyi guruh dan pantulan cahaya kilat kelihatan di cermin tingkap.


Pada mulanya aku tenang sehinggalah kedengaran bunyi dentuman kuat atas bumbung. Ayah aku dah panik. Mak aku masih blur. Aku acah-acah tenang buat muka tenang hajah solehah walaupun aku tahu tu bunyi atap tercabut. Terbayang dalam kepala zink terbang ke rumah jiran. Alhamdulillah tak berlaku seperti yang terlintas dalam fikiran.


Bunyi zink tu, tum tum tum tum tum semakin kuat dan...ayah keluar rumah membawa lampu suluh lalu dipanahnya ke atas bumbung. Berlubang! Dum tum dum tum kedengaran juga di rumah sebelah. Juga tercabut dua keping zink bumbung tempat letak kereta mereka. Astagfirullah Al-Azim. Jantung aku berdegup laju tak ada sesiapa pun tahu. Hanya mampu berbisik meminta Allah bantu meringankan ujian pada malam ini. Di sudut hati, aku tahu diri aku yang lain sedang memberontak tapi... tak boleh. Kau duduk diam-diam. Serahkan semuanya kepada aku.


Ayah tanpa berfikir panjang ambil keputusan untuk naik ke loteng bumbung. Aku pula yang sedang risau dengan keadaan dia yang sudah berusia terbayang hal bukan-bukan. Bumbung tu tinggi. Loteng tu kayunya berjarak jarang-jarang. Mak aku dah nampak pucat kerisauan. Aku tak nak buat orang panik. Aku acah-acah tenang.


Aku risau keselamatan ayah. Jadi aku ikut dia naik ke loteng yang sempit tu. Terbayang kalau-kalau ada seekor dua labah-labah kat dalam tu melompat ke muka aku tapi aku memilih untuk abaikan fobia bodoh tu. Aku menyaksikan ayah aku cuba menyelamatkan zink yang memang dah buruk tu.


Terdetik di hati rasa marah dengan Jabatan Kebajikan yang kononnya sudah meluluskan bantuan atap untuk rumah lama ni tapi... janji tinggal janji. Harapan tinggal harapan. Aku? Ada masanya diselubungi kemurungan dengan semua ini dan aku biarkan sahaja diri aku yang lain ambil alih. Penat! Aku nak rehat. Tapi malam ni aku jadi heroin. Berbangga lah dengan pencapaian kecil kau ni Sofinah. Bukan selalu adrenaline kau buat benda betul.


Aku memanjat dan masuk dalam loteng tanpa sebarang ketakutan. Aku tolong ayah apa yang aku boleh. Siling dah dibanjiri air hujan yang tiada tanda-tanda untuk berhenti. Risau! Dan... siling tu mulai kembang dek kerana air. Dinding rumah dah mula kelihatan aliran air hujan.


Rumah tu dah agak lama. Sejak aku berusia 14 tahun. Catnya pun  masih cat yang sama semasa aku 14 tahun. Malam tu, aku agak buntu dan...aku hubungi kakak aku.


22/04/2022 | Khamis

Alhamdulillah, kisah semalam termati begitu sahaja. Tidak terlalu menghantui kepala aku kerana kakak aku beri bantuan. Alhamdulillah aku dapat terima dengan berlapang hati. Tak apa. Ujian Allah nak bagi aku rasa dewasa sikit. Maklumlah. Peter Pan Syndrome. Tapi, tak sangka semalam aku kuat.


Hari ni, aku dan suami survey harga zink. Aku harap, tak lama lagi ada lah tindakan kebajikan. Aku ni, selain dari penat menunggu, penat juga menjawab soalan ayah yang aku sendiri tak ada jawapan tepat. Aku tak tahu. Aku tak tahu bila bantuan tu akan kunjung tiba. Tak tahu.


Aku banyak perkara yang aku nak selesaikan untuk diri aku aku yang aku dah banyaaakkk terlepas sejak aku kecil. Nak kejar semua memang penat. Nak dapatkan semua secepat yang mungkin bukan sesuatu yang mudah dan itu sesuatu yang mustahil. Waktu umur sekarang ni, aku sepatutnya dah jadi apa? Tapi, tak apalah. Aku cuba sedaya upaya ikhlaskan dan redha. Untuk apa juga yang sudah terlepas? Sekarang ni, yang penting usaha. Pasti ada sebab kenapa semua ni berlangsung seperti ini.


Allah adalah sebaik-baik perancang dan penentu hidup aku. Aku wajib terima.


Untuk menggembirakan hati yang lara. Aku masuk Mr.DIY beli monopod bluetooth murah untuk menggantikan monopod lama yang aku dah buang sebab dah reput. Aku nak ambil gambar kenangan untuk koleksi Instagram aku. Hobi paling kesukaan yang boleh buat aku bahagia walaupun...manusia dalam gambar tu, tidak semua yang masih berhubungan dengan aku. Tak apalah. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Lumrah.


Itulah tujuan kita ambil gambar tu. Kan? Sebab kita tahu, gambar tu sahaja yang ada suatu hari nanti untuk melihat kembali figura yang sudah tiada di depan mata.


Selesai di Bazar Ramadan, aku dan suami ke Supermarket untuk membeli bahan untuk di masak di rumah. Kuih dari Bazar aku simpan di service kaunter. Di Supermarket, aku terserempak dengan majikan lama. Majikan kegemaran aku sebenarnya suatu masa dahulu tetapi konflik memisahkan kami. Sebelum dia menjadi majikan aku, dia sebenarnya seorang kawan.


Ego. Masing-masing ada ego. Toksik. Masing-masing ada sikap toksik. Jadi... begitulah. Serik aku nak bermajikan seorang kawan. Professional dan personal bertindih-tindih. Manipulasi pun ada. Hm.

Tiba-tiba takdir menentukan pertemuan kawan lama yang pernah bekerja di syarikat yang sama, majikan yang sama. Lama tidak jumpa dia, rupa dia masih sama macam dulu. Seperti tidak dimakan usia langsung. Seingat aku, dia berada di Jepun kali terakhir aku berhubung dengan dia dulu.


Akibat aku membenarnya fikiran aku melayang, aku terlupa ambil kuih aku dari Bazar di service kaunter. Aku dan suami balik rumah macam biasa dan akhirnya teringat kuih-muih tertinggal setelah suami selesai menyiang ikan untuk digoreng buat juadah berbuka puasa.


Tanpa berlengah, suami ajak ke bandar semula demi kuih-muih.


23/04/2022 | Jumaat

Hari ni, aku susah nak bangun dari katil lagi. Sakit seluruh badan tak tahu macam mana nak jelaskan. Sakit kepala, boleh tahan. Aku nak ambil paracetamol dan kafein tapi puasa. Sekitar jam 2 petang aku paksa diri bangun. Kalau boleh nak isolated lagi tapi... Dah janji bawa mak ayah ke Bazar. Kali ni, biar mereka sendiri pilih juadah makanan.


Sebelum ke bandar, kami singgah dulu ke Hospital. Rutin bulanan ambil ubat-ubatan mak aku di farmasi hospital. Tiba-tiba, ahli farmasi tu ingatkan bulan Mei nanti ada temujanji dengan doktor pakar. Start sakit kepala aku datang balik. Sesak dada aku memikirkan. Sebab aku dah tukar tarikh temujanji ke pakar KK. Nak jelaskan macam mana dengan doktor pakar yang comel tu nanti. Asyik postpone sebab ekonomi aku gawat.


Jujurnya, sakit mak aku ni buat aku tak tentu arah sejak 2019. Risau. Tapi, aku kena tenang. Mak aku tak boleh tahu apa aku rasa, apa aku fikirkan sekarang. Kadang-kadang aku salahkan masa lampau aku disebabkan aku tak boleh dan tak mampu nak buat lebih baik dari yang aku buat sekarang. Tapi, aku kena terima. Ni semua takdir. Aku nak marah dan salahkan orang pun tak guna.


Selesai dari hospital, kami jumpa kakak aku dulu di tempat kerja dia. Lepas tu jalan-jalan kat mall yang tak berapa nak mall tu. Selesai sahaja jalan-jalan, kami pun berangkat ke bazar ramadan. Tak sangka, di bazar ramadan terjumpa sahabat lama. Gembira rasa hati tapi sedih sedikit sebab...sebab kenangan kami dulu dah lama ketinggalan di belakang. Apapun, Alhamdulillah hari ni Allah bagi kami jumpa. Merasa juga teruja walaupun sedikit.


Mak ayah aku gembira hari ni dapat pilih-pilih juadah puasa. Dah lama sangat duduk rumah. Sekali sekala lapangkan fikiran. Hirup udara segar dan lihat dunia luar.


Then, malam pun tiba. Macam biasalah. Penyakit sedih tu datang tak bagi amaran. Penatlah aku rasa macam ni setiap hari. Kau sedih kepada Sofinah? Kau baru je makan Soto Makasar masa buka puasa tadi.

0 comments: