" Tok tok tok ..." Terlepas cermin yang tajam itu dari tangan kiri ku. Cermin itu jatuh ke lantai dan pecah terbelah dua. Pintu pe...

009 : Keadaan Kita Tidak Akan Sama Lagi (Bab 2)


"Tok tok tok..." Terlepas cermin yang tajam itu dari tangan kiri ku. Cermin itu jatuh ke lantai dan pecah terbelah dua. Pintu pejabat ku diketuk. Jantungku berdegup kencang kerana terlalu terkejut.Ku pandang pintu. Tombolnya bergerak gerak kerana ada orang ingin membuka pintu itu dari luar. Ku kesat air mata lalu ku lihat pergelangan tanganku, lukanya kecil sahaja bagiku tetapi masih membuatkan darah keluar dengan banyak. Cepat cepat aku capai tisu di atas meja dan ku lap lukaku.


Pejabatku berbeza dengan pejabat pekerja lain. Pejabatku sangat privasi. Tiada tingkap untuk orang lain melihat ke dalam. Jika aku kunci pintu maka, tiada sesiapa pun boleh masuk tanpa kebenaran aku. Tiada seorang pun boleh melihat apa yang aku lakukan di dalam. Hanya ada tingkap untuk melihat keluar bangunan. Kebetulan, kedudukan pejabatku ini ditepi bangunan. Di bawahnya taman. Tingkat tiga.


Maklumlah... kononnya aku artis. Pelukis harus fokus. Tapi... bilik pejabat ini cukup membuat aku jadi Day Dreamer dan memberi aku kesempatan melayan kepala aku yang sedikit masa lagi bakal jadi gila.


"Siapa...!!" Jeritku bertanya siapa di luar sambil membuang tisu berdarah ke dalam tong sampah.


"Kak Jack ni...Fiyaa bila kau nak turun tolong aku? Buka pintu ni boleh?" Kak Jack rupanya di luar. Mungkin dialah hero yang dihantar tuhan. Kalau dia tidak mengetuk, mungkin pergelangan tangan aku sudah terbelah kulit dan isinya. Mungkin juga dia adalah penganggu yang paling aku benci. Kalau tidak, mungkin hasratku menamatkan perasaan sakit hati dan kusut di kepala ini sudah tertunai dengan mati.


Sebelum aku membuka pintu, sempat aku sepak serpihan cermin di lantai yang aku pegang tadi...cermin itu termasuk ke bawah meja kerjaku. Aku buka pintu dengan selamba saja meski rupa aku bagai orang putus cinta.


"Kau kenapa?" Tanya Kak Jack melihat aku setelah ku bukakan pintu. Dia masuk tanpa aku suruh. Dia juga salah seorang yang boleh tahan rapat dengan aku di tempat kerja. Tapi, itulah... cukup annoying dengan masalahnya di tingkat bawah. Penuh barang yang tidak cukup tangan untuk disusun ke rak. Pembantunya sering bersilih ganti lantaran tidak bertahan dengan tekanan pekerjaan tingkat bawah. Aku jadi mangsanya meminta bantuan menyusun. Aku sentiasa gembira membantunya walaupun itu bukanlah kerja aku. Ada masa, duduk berjam jam melukis buat aku rasa sakit pinggang. Aku fikir,  perlu bergerak juga sekali sekala. Mungkin juga sebagai escape dari bilik pejabat yang penuh dengan aura suicidal thoughts hasil seni dari otak aku sendiri.


"Kau okay ke Fiyaa?" Tanyanya lagi sambil melihat serpihan cermin di lantai yangbersepah lalu mengalihkan pandangan ingin tahunya ke arah aku. Tepat matanya melihat mataku. Sesaat dua kami bertentangan mata, cepat cepat aku alihkan pandangan ke tempat lain. Berpura pura melihat kertas kerja.


"Aku okaylah... cermin tu jatuh...Tak sempat nak bersihkan..." Kataku menipu.


"Jauh ya cermin ni jatuh dari meja kau tu..." Sindirnya... Dia tahu tempat asal cermin itu berada kerana dia selalu ku ajak masuk ke pejabat untuk meminta pendapat lukisanku.


"Kau tu tidak pandai menipu Fiyaa...kau tak okay kan? Apa dah jadi?" Tanyanya lagi memaksa aku menjelaskan hal sebenar. Aku tidak menjelaskan apa apa kepadanya. Aku hanya menarik tangannya untuk keluar dari pejabatku. Lalu kami turun ke bawah. Aku menyusun barang seperti biasa tapi aku tidak bersembang dengan Kak Jack. Aku tiada mood. Langsung tidak ada mood.


Aku tahu Kak Jack menghidu sesuatu. Aku tahu dia tahu aku tidak okay. Tapi, aku rasa tidak penting untuk dia tahu tentang Knoye. Kak Jack tidak mungkin akan faham hubungan aku dengan Knoye sedangkan aku sendiri tidak mengerti.


"Fiyaa, lama kau tidak keluar dengan Kak Oyen kan?" Bagai terkena petir aku mendengar nama Kak Oyen disebut. Tapi aku cuba menjawab dengan tenang seperti biasa.


"Ya...hmm...dia sibuk..." Kataku. Cuba untuk bersahaja. Sebenarnya aku tertanya tanya juga, apa agaknya Kak Oyen buat sekarang? Selepas aku hantar mesej begitu tempoh hari, aku berasa kesal. Sampai hari ini tiada balasan dari dia. Apa agaknya dalam fikirannya? Aku yakin dia pasti salah faham dengan mesej yang aku tulis. Dia pasti sedih dengan kata kata aku tempoh hari itu. Hasil dari tindakan aku kepada Kak Oyen ini apa? Knoye tetap juga buang aku. "Keadaan tidak akan sama lagi", katanya. Meskipun aku sudah jelaskan aku sudah tidak lagi berkawan dengan Kak Oyen. Sia sia belaka semua ini. Bodoh betul aku ni.


Mungkin, aku tidak perlu buat begitu kepada Kak Oyen. Biarlah Kak Knoye marah atau buang aku. Atau, mungkin...aku tidak perlu beritahu dengan Knoye pun tentang Kak Oyen. Biarlah aku berkawan dengan siapa sahaja dengan bebas. Biarlah aku buat keputusan dengan siapapun aku ingin berkawan dan bersahabat.


Tapi...masalahnya aku rasa bersalah dan aku rasa bagaikan mengkhianat Knoye jika aku tidak memberitahu kepadanya. Aku sayang dia lebih dari Kak Oyen.. malah aku sayang Knoye lebih dari sesiapapun. Tapi... siapalah aku dengan Knoye. Aku tidak setara dengan gaya hidup dia pun. Aku budak kampung. Aku sebenarnya selevel Kak Oyen. Dia lebih faham aku walaupun aku sayang Knoye lebih dari Kak Oyen. Kak Oyen tidak pernah menghalang aku dari berhubungan "kakak adik" dengan Knoye. Sama seperti antara aku dengan dia. Kak Oyen sangat penyayang orangnya. Silaturrahimnya dengan aku begitu tulus.


"Fiyaaa darah!" Jerit Kak Jack sambil menghampiri aku. Dicapainya pergelangan tangan kananku. Bulat mataku melihat lengan bajuku yang berdarah. Aku tarik tanganku dari tangan Kak Jack. Tidak sangka darahnya boleh begitu banyak hingga boleh dilihat oleh Kak Jack.


Kak Jack yang tidak mahu mengalah dan masih tidak puas hati dengan jawapanku yang endah tidak endah di pejabat tadi, menarik tanganku semula dan diselaknya lengan baju ku dengan pantas. Langsung tidak sempat untuk aku kata "Jangan" kepadanya. Di bahagian luka itu sebenarnya boleh tahan dalam dan sudah kelihatan bengkak. Ku ketap bibir bawah dengan gigi kerana aku terasa pedihnya tergeser dengan lengan baju.


Kak Jack tanpa berkata apa apa, dia membawa aku ke stor penyimpanan barang. Di sana, ada kotak kecemasan. "Baik hati betul Kak Jack ni" bisikku dalam hati. Aku hanya mampu menangis, diam dan melihat saja. Aku khuatir Kak Jack bertanya kenapa pergelangan tangan aku begitu.


Kak Jack, menyapu iodine ke lukaku. Terasa pedih tapi ku tahan. Di letaknya kapas khas untuk luka dan ditampalkan dengan plaster. Lalu, dilihatnya aku dengan wajah serius bercampur risau. Aku tidak tahu apa yang ada dalam fikiran Kak jack tapi... wajahnya cukup menjelaskan bahawa dia tahu apa yang aku buat dengan lenganku.


Arrggghhhhhh! Kenapa benda kecil macam ni buat aku kusut? Dah kenapa aku jadi macam ni sebab Knoye? Kenapa sakitnya hati aku sampai macam ni? Bodohnya aku bertindak mencederakan pergelangan tangan sendiri di bilik pejabat tadi dan Kak Jack...diam sahaja sejak mengubat lukaku. Sekali sekala dia melihat aku menyusun barang dari jauh.


Selesai membantu Kak Jack, aku kembali ke pejabat dan mengemas barang peribadiku. Sambil mengemas, aku berfikir tentang Kak Jack. Aku hairan juga kenapa dia tidak banyak soal tentang pergelangan tangan aku. Tapi, baguslah dia tidak bertanya. Jenuh juga aku nak menjawab alasan nanti. Selesai berkemas, aku keluar dari bangunan itu. Aku pulang awal hari ni. Tidak larat rasanya mengambil kerja lebih masa hari ni.


Aku penat. Penat otak. Penat segalanya. Sampai  sahaja ke rumah, aku terus masuk ke bilik ku dan aku mahu tidur. Ya...aku tidak mandi. Aku penat! Mak ada ketuk pintu ajak makan malam. Aku tidak ada mood untuk keluar. Aku malas disoal pelbagai soalan jika keluarga ku melihat mood aku begini. Aku jawab "Kenyang..." saja.


Di tepi katil, Teddy Bear comel warna pink sedang kusyuk memerhatikan aku. Aku capai dan aku perhatikan teddy pink itu...marah ku kembali bila melihat teddy itu, aku buang ke bawah katil lalu aku tidur. Sakit hati rasanya melihat Teddy Bear Pink itu. Teddy pink  tu sebenarnya Teddy yang paling aku sayang dalam bilik tidur aku. Knoye yang hadiahkan aku ketika ulang tahun aku ke 16 tahun. Bila aku bangun, hari sudah pagi. Panik aku seketika... aku ingat aku dah terlambat pergi kerja. Mujur baru jam 11 pagi. Aku masuk kerja jam 1 tengahari hari ni. Tapi aku sepatutnya keluar awal untuk temankan Kak Meo makan tengahari dan temankan dia shopping baju. "Masih sempat", fikirku. Aku capai telefon bimbit aku, ada SMS


Cepat cepat aku buka. Malangnya bukan Knoye. Tapi, Kak Lim. Ajak sarapan pagi. Hmm... Maaflah Kak Lim... jam 11 baru aku buka mesej kau. Bisikku dalam hati. Sebenarnya tak ada mood pun nak jumpa orang sekarang. Aku baring semula tanpa membalas mesej Kak Lim. Aku pandang ke siling. Rindu betul nak borak dan chat dengan Knoye macam selalu. Aku rasa hidup aku ni dah begitu membosankan. Tanpa Knoye.


Tiba tiba telefon aku berdering digenggaman aku. Aku angkat tanpa melihat nama pemanggil. 


"Fiyaaa! Kau kat mana?" Suara Kak Meo kedengaran dalam telefon.

"Kat rumahlah..." Jawabku malas.

"Baguslah. Aku fikirkan kau kat mana. Kau tak kerja ke hari ni?" Tanya Kak Meo. Kali ini aku hairan dengan kata katanya dan soalannya. Soalan tu membuatkan aku melihat jam dinding di bilikku. Aduh... rupanya aku tertidur selama 3 jam.

"Aduh! Kak Meo... maaf aku tertidur... Aku bersiap terus masuk kerja sekarang ya..." Jawabku rasa bersalah.


"Dah lah Fiyaa... aku bagi kau cuti hari ni... jumpa esok okay...take care please, jangan buat benda bukan bukan..." Kak Meo letak ganggang telefon pejabatnya tanpa menunggu jawapan aku. Aku pandang skrin telefon. Aku kehairanan dengan kata katanya. "Jangan buat benda bukan bukan" katanya. Aduh... ni mesti kerja Kak Jack. Mesti dia bagi tahu Kak Meo sesuatu tentang luka aku semalam. Esok confirm aku kena menjawab soalan soalan Kak Meo. Arrgghhhh stress betullah aku. Kak Jack ni pun satu, luka macam tu pun nak bagi tahu Kak Meo. Entah apa yang dia cerita pada Kak Meo.


Sekarang aku tak tahu nak buat apa kat rumah. Dari semalam aku tak mandi lagi, baik aku pergi mandi dan makan. Boleh tahan pedih juga luka lengan aku waktu mandi tadi. Selesai makan mee segera perisa ayam, aku ke bilik dan baring atas katil. Mula memikirkan apa sebenarnya aku patut buat dengan hidup aku selepas percubaan memujuk ayah gagal dengan bantuan Kak Oyen dan rakan rakannya.


Ustaz Misran yang memperkenalkan aku dengan Kak Oyen yang bekerja di Baitulmal. Ustaz Misran mencadangkan, mungkin kalau aku dapat biasiswa dari Baitulmal, ayah akan benarkan aku lanjutkan pelajaran. Aku sebenarnya mengharap tinggi dengan strategi ni. Aku harap, hati ayah terbuka dengan biasiswa ini. Mungkin, ayah berat hati nak bagi aku lanjutkan pelajaran sebab kewangan. Mungkin...ya, semuanya atas dasar perkataan mungkin.


Aku tak faham ayah sebenarnya. Sejak aku kecil macam macam perkara aku tak boleh buat. Paling teruk sekali, bila dah naik sekolah menengah, tak boleh langsung bincang tentang sambung belajar. Meskipun tak pernah bincang hal ni dengan ayah dan mak, aku masih lagi buat perancangan dan pasang angan angan masuk universiti. Ada masa, runtuh jugalah semangat belajar kerana aku merasa aku sendirian dalam perjuangan ini.


Tapi, semangat naik semula dengan sokongan baik guru guru. Dalam hidup aku, guru guru lah insan paling istimewa kerana hanya mereka yang faham mengapa kita wajar menyambung pelajaran. Dan faham mengapa ilmu itu penting. Paling tinggi semangat aku nak teruskan impian ni tatkala aku kenal dengan Knoye. Dengan dia dan guru guru lain lah yang aku peroleh sokongan yang aku tidak peroleh dari rumah.


Aku cukup kasih sayang. Ayah mak aku sayang aku  ibarat anak emas. Mereka jaga aku ibarat menatang minyak yang penuh. Cuma... sokongan tentang pendidikan, ilmu, dan belajar setinggi mungkin tidak pernah aku dapat. Malah, ayah paling memandang rendah impian aku sambung belajar. Baginya, belajar hanya membuang masa, membuang tenaga, dan wang. Baginya, belajar di universiti tidak penting. Baginya, ilmu tidak ada gunanya. Dia mahu aku mengikut jejaknya. kerja. Duit. Belanjakan duit. Repeat. Entah. Aku paling berbeza dari ahli keluarga aku yang lain. Impian aku jauh beza dengan yang lain. Dan ayah kata, aku jenin.


"Kau tu jenin...tak payah lah berangan. Semua tu tak berfaedah... kau ni pelik dari yang lain!!!" terngiang ngiang dalam kepala kata kata ayah dalam kereta. Oleh kerana bertengkar dalam kereta tentang 'Jenin', ayah sengaja membawa keretanya laju dengan cara merbahaya dan hampir melanggar kereta orang lain hanya kerana mahu aku akui, "YA AKU JENIN".... "YA AKU TIDAK AKAN MASUK UNIVERSITI". Jika tidak, dia mungkin akan sengaja melanggar keretanya dengan kereta orang.


Aku masih ingat lagi peristiwa itu berlaku. Ketika itu, aku baru balik dari pameran universiti dan kolej. Aku buka cerita dalam kereta sebab itulah ayah mengamuk ketika memandu kereta. Sampai sahaja di rumah, aku masuk ke bilik dan aku hentak pintu sekuat hati. Di bilik, aku menjerit dan menghentak barang sepuas hati. Habis aku koyakkan semua kertas yang aku peroleh dari pameran itu.


Kawan kawan ku tidak mengetahui hal ini. Aku malu untuk bercerita kerana bagi aku ini unusual. Wujudkah orang yang seperti ayah aku? Kasih sayangnya penuh. Sayangnya dia kepada aku tidak ada kurangnya. Tapi, sambung belajar? ayah boleh bila bila masa bertukar seperti gorilla.


Macam macam cara aku pujuk ayah. Paling berani cara pujukan biasiswa Baitulmal. Terdesak melampau sampai aku tidak kisah bidang akauntan bukanlah bidang yang aku minati. Yang penting, aku sambung belajar. Yang penting, level aku bukan sekadar SPM. Yang penting, suatu hari nanti, aku bukan bekerja setakat ilmu SPM. Tapi, sia sia belaka, dapat biasiswa ini pun aku tetap tidak dibenarkan melanjutkan pelajaran. Kesian Ustaz Misran dimaki hamun ayah. Nasib baik cuma dalam telefon. Ustaz dengan rendah hati kata kepada aku, " Tak apa lah Fiyaa...berkat dan redha mak ayah itu penting... kalau mereka tak bagi, tak boleh nak buat apa... Mungkin rezeki kau Allah beri kat benda lain..." Musnah semua harapan aku dengan strategi ni.


Aku ingat, kalau dapat pergi sambung belajar di Kuala Lumpur, boleh lah aku jumpa Knoye dengan kerap sambil aku sambung belajar kelak. Ya..impian dan harapan aku bukan sahaja sambung belajar tetapi Knoye salah satu impian terbesar yang aku miliki. Mungkin, bila aku berada di Kuala Lumpur, tak ada lah istilah, "Tunggu akak contact dulu kalau akak berada di Kuala Lumpur...jangan call dan jangan SMS...". Aku tak faham kenapa aku tidak boleh hubungi dia kalau dia berada di Kuala Lumpur.


Pelik tapi... aku malas nak fikir banyak. Yang penting dia tak marah aku lagi sebab call dia masa dia berada kat KL. Aku fikir, kalau aku berada di KL, syarat syarat macam ni tak akan ada. Atau... sama sahaja?


Sejak ayah tak bagi aku pergi belajar di Kuala Lumpur, aku cuba juga tukar lokasi paling dekat dengan tempat tinggal aku. Sabah. Tapi tak tahulah. Semua tak boleh kecuali kerja. Bukan soal kewangan. Bukan juga soal jauh. Tapi, pokoknya adalah TIDAK BOLEH dan tidak boleh adalah tetap tidak boleh.


Sejak hal biasiswa ini lah aku rapat dengan Kak Oyen. Kebetulan, Kak Oyen tinggal berhampiran dengan tempat aku tinggal. Kami sekampung. Kami sering berjumpa. Sejak Knoye berada di tanah Semenanjung Malaysia, dia memang sibuk. Dia jarang telefon. Ada masa, dia SMS tapi tak kerap macam zaman aku sekolah dulu. Ada masa memang aku nak call dan SMS juga tapi serik dia marah sebab aku tak ikut cakap dia supaya jangan contact dia selagi dia tak mula dulu. Aku bengang sebenarnya. Dia annoying kot dengan aku. Atau dia sebenarnya tak suka aku pun. Cari aku masa bosan saja lah kot.


Tamat sekolah, aku rasa sunyi. Sunyi Knoye dah sibuk. Kawan kawan semua pun sibuk sambung belajar. Aku? Aku kerja. Dan kerja selamanya bukanlah apa yang aku mahukan buat masa ni. Aku nak sambung belajar macam kawan lain. Mungkin kalau hidup aku tak membosankan, aku tak kisah Knoye sibuk macam mana sekalipun. Tak kisah lihat kawan kawan aku yang lain sambung belajar. Aku rasa hidup aku bosan sebab tak ada misi. Tak ada matlamat yang selari dengan apa yang impikan.


Bila Knoye telefon aku pula, atau SMS, atau MMS, aku rasa macam... dia dah tahap bahagia gila kat sana. Kongsi dengan aku pun pasal kisah kisah students dia yang rapat dengan dia. Ada masa, aku rasa...tu lah reason dia jarang cari aku. Sebab dia dah ada pengganti aku untuk borak. Tak macam masa dia kat Sabah. Dia rajin borak dengan aku. Aku pula rajin layan dia. Rajin soal dia macam macam. Rajin tunggu dia SMS dan call.


Sampai 4 pagi pun aku tak kisah. Sebab aku suka. Aku suka sembang dengan dia. Aku banyak soalan bukan sebab aku nak tahu macam macam atau penyibuk tapi... aku tanya banyak soalan sebab...supaya dia bercerita. Panjangkan cerita dan biar kami lebih lama dalam talian. Itulah sebabnya aku banyak soal. Bukan sebab aku nak menyiasat. Aku rasa 'hidup' bila dia ada.


Bila Knoye mulai jarang jarang menghubungi aku atas kesibukkan hidupnya. Atas hal hal yang lebih penting dan lebih utama baginya di sana, aku akui aku kesunyian. Kak Oyen sedikit sebanyak menghilangkan rasa sunyi aku meskipun dia tidak menghilangkan rindu aku terhadap Knoye.


Ada masa, perwatakan Kak Oyen mirip dengan Knoye. Buatkan aku rasa seronok berdampingan dengan Kak Oyen. Kak Oyen, suka benar borak dengan aku. Sama...sama seperti Knoye. Bezanya? Kak Oyen tidak pernah memarahi aku untuk berkawan dengan kawan kawannya. kak Oyen tidak pernah marah aku menghubunginya bila bila masa pun.


Kak Oyen tidak pernah menyembunyikan aku siapa. Malah, dia bersahabat dengan aku dengan penuh ikhlas. Memperkenalkan aku kepada semua sahabat dan keluarganya. Knoye? Teddy Bear pink yang tidak boleh aku beritahu itu pemberiannya. Berkawan dengannya begitu banyak syarat. Mungkin, itulah yang dikatakan 'Style' bagi Knoye. Tapi entah kenapa, attachment aku dengan Knoye lebih kuat berbanding Kak Oyen. Kasihan Kak Oyen. Aku sudah lukakan hatinya demi Knoye.


Entahlah... mungkin aku patut lupakan saja Knoye. Hargai apa yang ada depan mata. Kak Meo, Kak Jack, Kak Lim dan ramai lagi ada depan mata. Mungkin, aku patut terima tawaran kerja Kak Meo untuk jadi pekerja tetap. Lupakan sahaja futher study. Lupakan Kuala Lumpur. Lupakan Knoye dan apa sahaja yang berkaitan dengan Knoye. Aku dah malas nak pujuk ayah aku. Penat konflik dengan ayah. Penat menangis dalam bilik sendirian. Penat pegang pisau cukur sampai tertidur sebab pengecut. Kalau aku mati dengan cara begitu, sudah tentu Allah laknat aku. Hmm...Penat betul berangan dan berimpian. Penat tak tidur malam. Penat penat penat penat. PENAT.


Nak lari dari rumah aku takut derhaka. Nak mati saja...aku takut dilaknat. Seriuslah... tak tahu nak buat apa hidup ni.


"Aku ingin menjadi mimpi indah dalam tidurmu...aku ingin menjadi sesuatu yang mungkin bisa kau rindu..kerana...." Lagu Dealova aku mainkan di telefon bimbit berkumandang. Aku dengar setiap bait kata lagu dan...akhirnya, aku terlena disebabkan ubat batuk yang aku minum 3 sudu tanpa sebab...Aku just nak rasa mengantuk, berhenti berfikir dan tidur.


...bersambung.

0 comments: