Aku menulis cerita sebab...ada yang kata menulis tu satu terapi. Aku suka bercerita tapi kebanyakkan cerita aku bukanlah sesuatu yang bo...

002 : Kenapa Menulis?


Aku menulis cerita sebab...ada yang kata menulis tu satu terapi. Aku suka bercerita tapi kebanyakkan cerita aku bukanlah sesuatu yang boleh difahami oleh semua orang. Orang sudah pastilah membantu aku dengan mendengar. Tapi mereka tidak merasa. Jadi, dengan menulis, aku rasa sedikit lega. Melepaskan apa sahaja dalam benak dan fikiran. Melepaskan setiap fikiran aku yang selalunya mereput dengan berdiam diri. Lalu menjadi karat dalam hati. Lalu hati aku mulai rosak dan rabak.

Rosaknya hati aku, bukanlah rosak yang biasa. Kadang kadang ia sukar berfungsi seperti biasa. Ia telah menular hingga ke otak. Otak aku mula ditumbuhi tumbuhan berduri. Berbunga tetapi merembeskan racun. Menambahkan lagi sakit yang sedia sudah sakit. Aku tahu, tumbuhan yang tumbuh dalam hati dan otak aku ni bakal membesar seperti tumor. Aku tak mungkin mampu nak membuangnya dari tubuh aku. Kerana, ia tumbuh hasil dari luka, ia mekar hasil dari sakit. Jika aku buang, maka akan hancur berkecailah hati dan otak aku oleh akarnya yang sudah pun bertapak sekian lama. Cengkaman akarnya pasti sangat erat!

Aku hanya mampu bertahan. Menjadikan ia tumbuhan yang mekar, cantik, rendang dan berkembang. Semoga aku bertahan sehingga, akarnya yang mengangkat aku tanpa aku bekerja keras membawanya kelak. Dengan menulis kisah kisah aku dulu, sekarang dan nanti di sini, mungkin boleh memberi pengajaran kepada sesiapa yang membacanya. Mungkin juga tidak. Aku tidak pasti. Aku hanya mahu menulis. Menulis apa sahaja yang aku mahu.

Sebenarnya aku tidak peduli jika cerita aku bukanlah sesuatu yang memberi manfaat kepada pembaca. Baca jika korang mahu. Jangan baca jika tidak mahu. Aku menulis kerana aku suka dan kerana aku mahu. Jika benar cerita aku memberikan sesuatu kepada korang yang sedang membaca, aku izinkan untuk korang sebarkan. Kalau tidak, diamkan.

-Forget My Name : Me-